iProperty.com Expo 2013 Johor Bahru

iProperty.com akan menganjurkan satu ekspo hartanah di Johor Bahru pada 27-29 September 2013 ini di City Square, Johor Bahru.

Secara kasarnya, hampir 90% daripada para pengunjung ekspo seperti ini adalah terdiri daripada golongan Cina. Mereka datang dan mendapat manfaat daripada info-info dan peluang yang ditawarkan.

Di manakah golongan bumiputera atau golongan India yang lain? Adakah mereka majoritinya tidak berminat dengan hartanah?

Banyak persepsi negatif yang bermain di minda kebanyakan orang apabila melihat ekspo hartanah, antaranya:

1. "Harga rumah dan hartanah yang dijual terlalu mahal, saya tidak mampu."
2. "Ekspo rumah dan hartanah seperti ini hanya boleh dikunjungi oleh mereka yang mempunyai wang yang banyak dan kaya raya."
3. "Saya tidak memahami tawaran yang diberikan. Saya bimbang tersilap buat perancangan dan keputusan."

Dan macam-macam lagi alasan..

Sebenarnya, ada beberapa perkara lain yang boleh kita perolehi apabila menghadiri ekspo hartanah seperti ini selain membeli rumah. Antaranya adalah:

1. Dapat mengetahui lokasi projek-projek perumahan terkini. Dari situ, kita dapat mengagak lokasi manakah yang akan menjadi hot spot dalam tempoh 5 tahun akan datang. 

2. Kebiasaanya, ekspo-ekspo sebegini akan dihadiri oleh para pelabur hartanah, bankers dan mungkin juga peguam. Di sini lah kita berpeluang untuk berjumpa dengan mereka dan mendapatkan informasi terkini berkenaan dunia Pelaburan Hartanah. 

Sesi mengembangkan networking ini amat penting kerana kita berada di dalam kelompok yang aktif dalam arena Pelaburan Hartanah. Pastikan anda bersiap sedia dengan kad nama anda. Siapa tahu peluang anda akan tiba nanti?

3. Ekspo_ekspo begini juga biasanya dimeriahkan dengan sesi+sesi ceramah oleh guru-guru Pelaburan Hartanah di Malaysia. Antara nama yang selalu dipanggil untuk memberikan ceramah berkenaan Pelaburan Hartanah adalah seperti Ahyat Ishak, Gavin, Milan Doshi dan ramai lagi. 

Perkongsian mereka berkenaan dunia hartanah adalah amat bernilai tinggi dan yang paling bestnya, kita dapat menghadiri sesi perkongsian mereka ini secara percuma!

0 comments :

Internet Menaikkan Nilai Rumah Sewa

Internet mengubah cara manusia membuat keputusan.

Kini kebanyakan hotel bajet pun ada menyediakan perkhidmatan WIFI percuma untuk menarik perhatian pelanggan.

Percaya atau tidak, potensi mendapat pelanggan baru dan berulang di hotel bajet naik lebih 300% setelah menyediakan perkidmatan WIFI percuma.

Strategi yang sama boleh digunakan untuk Pelaburan Hartanah melalui rumah sewa flat atau apartment untuk mendapatkan penyewa.

Konklusi: Internet menaikkan nilai pasaran rumah sewa.

0 comments :

Teknik Flip Dalam Pelaburan Hartanah

Terdapat banyak strategi dan teknik dan strategi dalam Pelaburan Hartanah. Antara yang paling popular adalah teknik Flip.

Teknik Flip ini secara ringkasnya dalah kita membeli sebuah rumah pada harga yang murah, dan setelah harga rumah tersebut melonjak (selepas beberapa tahun), kita jual rumah tersebut pada harga pasaran dan menjana keuntungan daripada transaksi jual beli tersebut.

Contohnya, Ali membeli sebuah apartmen pada harga RM100,000 pada tahun 2010. 5 tahun kemudian, Ali pergi memeriksa nilai pasaran rumah tersebut dan mendapati harganya telah naik kepada RM180,000. Ali bertindak menjual rumah tersebut dan menjana keuntungan RM80,000 daripada penjualan rumah tersebut.


Ramai yang melakukan teknik Flip dalam Pelaburan Hartanah ini kerana mahu menjana keuntungan Capital Gain yang banyak dengan mudah.


Capital Gain yang diperoleh itu boleh digunakan untuk Pelaburan Hartanah yang seterusnya. Teknik ini hanya perlu diulangi untuk mendapatkan sejumlah wang yang besar.

Mungkin ada yang skeptikal dan ragu-ragu sama ada teknik flip ini boleh dilakukan atau tidak dan selamat ataupun tidak.

Hakikatnya, kita cuma perlu tahu idea untuk melakukannya. Sama ada berjaya atau tidak, kita perlu mencubanya.

Persoalannya, anda berani mencuba? Kalau ada ilmu, persediaan dan kemampuan, anda pasti berani untuk mencuba melakukannya.

0 comments :

Isu Harga Rumah Mahal

Isu harga rumah mahal kini hangat diperkatakan terutamanya oleh
rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Pelbagai persepsi dan andaian berkenaan isu harga rumah ini
dilontarkan sesama sendiri dan membuatkan perkara ini
sesuatu isu yang amat meruncingkan.

Satu video bertajuk 'M-C'M: Utopia Milik Siapa' telah dihasilkan
oleh Saudara Boon Kia Meng yang membincangkan secara kritis
dan terbuka berkenaan isu harga rumah di Malaysia yang terlalu mahal
dan video ini wajar ditonton terutamanya golongan muda yang sedang
berkira-kira untuk membeli rumah dalam masa terdekat ini.

Jemput kongsikan pendapat anda berkenaan isu ini di ruangan komen.

Selamat menonton!

2 comments :

Tips Memilih Buku Pelaburan Hartanah

Untuk menceburi bidang pelaburan, anda perlu memiliki ilmu yang secukupnya. Ramai yang kecundang dalam dunia Pelaburan Hartanah kerana gagal mendalami ilmu yang diperlukan.

Salah satu puncanya adalah disebabkan kerana kurangnya membaca artikel atau buku-buku berkenaan Pelaburan Hartanah.

Jika anda ingin berjaya dalam Pelaburan Hartanah, anda perlu membaca terlebih dahulu buku-buku yang menerangkan selok-belok asas untuk melakukan Pelaburan Hartanah.

Namun, sudah pasti anda tertanya-tanya, apakah buku yang patut anda baca dan apakah ilmu yang patut anda ekstrak daripada buku-buku tersebut. Sudah pasti anda tidak mahu membuang masa membaca sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada anda, bukan?

Untuk pengetahuan anda, anda tidak perlu baca kesemua buku tentang Pelaburan Hartanah yang ada di pasaran (jika anda dapat baca semuanya, adalah lebih bagus).

Untuk permulaan, anda cuma perlu baca buku yang bersesuaian dengan anda dan memberikan ilmu yang anda perlukan sahaja. Selepas anda mula menceburi bidang Pelaburan Hartanah ini, anda akan lebih memahami, apakah jenis buku Pelaburan Hartanah yang sesuai anda baca.

Dalam artikel kali ini, RumahJohorBahru.com akan berkongsikan tips, bagaimana untuk memilih buku-buku yang sesuai untuk dijadikan modal pembelajaran anda berkenaan dunia Pelaburan Hartanah.

InsyaAllah, jika anda mengikut tips-tips yang dikemukakan ini, langkah anda untuk menjadi seorang Pelabur Hartanah yang berjaya di Malaysia akan menjadi lebih cepat dan teratur.

Tips #1 : Beli Buku, Jangan Pinjam!

Ok tips yang pertama ini agak pelik, tapi sebenarnya amat penting jika anda serius untuk belajar, mendalami dan menjadi seorang Pelabur Hartanah yang berjaya. Anda perlu laburkan sedikit wang anda untuk membeli buku-buku berkenaan Pelaburan Hartanah.

Jangan jadikan tabiat untuk sekadar meminjam buku berkenaan Pelaburan Hartanah daripada kawan-kawan anda kerana ia lambat laun melunturkan semangat anda. Buat keputusan dengan membeli buku Pelaburan Hartanah yang terbaik, baca dan amalkan ilmunya.

Baiklah, anda telah faham tips yang pertama, tapi macam mana nak pilih dan beli buku Pelaburan Hartanah yang bagus? Teruskan membaca tips yang seterusnya.

Tips #2: Pilih Buku Terbitan Tempatan.

Ramai orang yang baru hendak bermula menceburi bidang Pelaburan Hartanah ini membeli buku-buku terbitan luar negara. Kebanyakannya dalam bahasa Inggeris dan berharga agak mahal (lebih RM50 senaskah).

Tapi selepas beberapa bulan selepas itu, mereka gagal melakukan apa-apa pun dalam Pelaburan Hartanah. Antara alasan mereka adalah, buku itu menunjukkan cara melakukan Pelaburan Hartanah yang tidak praktikal.

Itulah salah satu kesilapan yang dilakukan oleh ramai orang, iaitu membaca buku yang tidak berkaitan. Kebanyakannya, buku terbitan luar negara lebih sesuai dibaca oleh Pelabur Hartanah luar negara.

Di Malaysia, situasinya sudah pasti berbeza. Cara membeli hartanah dan jenis strategi lokasi yang dibentangkan dalam buku Pelaburan Hartanah terbitan luar negara itu mungkin tidak dapat diaplikasikan di Malaysia.

Oleh itu, secara ringkasnya, lebih bijak jika anda membeli buku-buku tentang Pelaburan Hartanah yang ditulis oleh penulis-penulis dan pelabur-pelabur hartanah di Malaysia kerana teknik dan strategi yang digunakan adalah lebih sesuai untuk dipraktikkan di pasaran hartanah Malaysia.

Tips #3: Pilih Buku Yang Memberikan Panduan Langkah Demi Langkah

Secara asasnya, terdapat 2 jenis buku yang biasanya ditulis berkenaan Pelaburan Hartanah. Satu adalah buku jenis panduan langkah demi langkah, dan yang kedua adalah buku jenis perkongsian pengalaman pelabur hartanah.

Untuk permulaan, anda perlu cari buku yang memberi panduan asas bagaimana untuk melakukan Pelaburan Hartanah, seperti apakah persediaan untuk menjadi pelabur hartanah, bagaimana caranya mengumpul modal untuk membeli hartanah, jenis-jenis teknik dan strategi melakukan Pelaburan Hartanah dan juga penerangan-penerangan ringkas tentang terma-terma yang digunakan apabila berbicara tentang Pelaburan Hartanah, seperti CCRIS, CTOS, DIBS dan sebagainya.

Selepas anda mendapat gambaran yang jelas bagaimana untuk melakukan Pelaburan Hartanah dan sudah mula membeli rumah untuk tujuan Pelaburan Hartanah, pada masa itu anda bolehlah membaca buku-buku Pelaburan Hartanah yang berkongsikan pengalaman para pelabur hartanah melakukan Pelaburan Hartanah mereka pula, untuk mendapatkan rangsangan motivasi tambahan jika anda menghadapi apa-apa kesukaran ketika melabur dalam hartanah.


Demikian 3 tips yang dapat dijadikan panduan untuk membeli buku tentang Pelaburan Hartanah. Membaca buku yang betul tentang Pelaburan Hartanah adalah amat penting dan ianya akan membantu anda melakukan Pelaburan Hartanah dengan lebih pantas dan berkesan serta dapat mengelakkan kerugian yang besar.

Pastikan anda membaca buku yang boleh anda fahami, ringkas dan padat. Jika kurang faham, cari mentor untuk bertanya atau bersoal jawab (berbincang) dengan kawan-kawan anda yang meminati dunia Pelaburan Hartanah.

Dari situ pengetahuan anda tentang Pelaburan Hartanah di Malaysia akan cepat berkembang dan setelah anda mengetahui rahsia sebenar melakukan Pelaburan Hartanah yang menguntungkan, anda akan merasakan yang Pelaburan Hartanah itu adalah sesuatu yang amat menyeronokkan.

Di RumahJohorBahru.com, kami telah menyediakan satu kategori khas iaitu 'Review Buku' di mana buku-buku berkaitan Pelaburan Hartanah Malaysia akan dituliskan review.

Teruskan melayari RumahJohorBahru.com untuk mendapatkan info terkini berkenaan bahan bacaan yang sesuai dan terbaik untuk menambahkan lagi ilmu anda tentang Pelaburan Hartanah di Malaysia.

0 comments :

4 Lokasi Paling Panas Di Malaysia!

Untuk pengetahuan anda ada sekurang-kurangnya 4 lokasi yang boleh dikatakan sebagai lokasi paling panas di Malaysia. Lokasi-lokasi ini menjadi tumpuan para Pelabur Hartanah kerana potensi kenaikan harga hartanah yang tinggi dan juga permintaan yang tinggi untuk tujuan sewa.

Adalah penting untuk masuk dan melabur di lokasi-lokasi panas di Malaysia ini kerana ia akan membantu anda untuk menjana wang yang banyak tanpa perlu bersusah payah.

Contohnya, jika anda membeli rumah untuk disewakan kepada orang lain, sekali sahaja anda iklankan rumah anda itu, lebih 10 orang menghubungi anda untuk menyewa di situ.

Sudah pasti peluang anda dalam Pelaburan Hartanah akan menjadi lebih cerah dan anda akan sentiasa tersenyum selepas itu.

Ok jangan buang masa lagi. Berikut adalah 4 lokasi untuk Pelaburan Hartanah terhangat di Malaysia:

1. Kuala Lumpur dan sekitarnya.

Kuala Lumpur adalah ibu negara Malaysia dan ia menjadi tempat tumpuan ramai kerana terdapat banyak peluang pekerjaan yang wujud di sana.

Ramai belia dari negeri-negeri lain berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dan mereka memerlukan rumah untuk tinggal.

Malah, kebanyakan institusi pendidikan tinggi terbaik Malaysia berada di sekitar Kuala Lumpur. Oleh itu anda akan dapat melihat lebih ramai para pelajar universiti/kolej memerlukan rumah untuk menyewa.

Sesiapa yang dapat memegang hartanah di Kuala Lumpur akan berpeluang menjadi Jutawan Hartanah kerana harga hartanah di sana kebiasaannya bernilai jutaan ringgit.

Disebabkan Kuala Lumpur adalah satu lokasi panas untuk Pelaburan Hartanah, kawasan sekitarnya iaitu Selangor juga menerima tempias dan menjadikan ia satu lokasi yang amat baik juga untuk diterokai.

Namun, oleh sebab pasaran hartanah di Kuala Lumpur adalah terlalu mengujakan, harga yang ditawarkan untuk membeli hartanah di Kuala Lumpur itu menjadi sangat tinggi dan kadang kala tidak masuk akal.

Jadi, kebanyakan para Pelabur Hartanah di Kuala Lumpur menggunakan teknik JV (Join Venture) untuk membolehkan mereka membeli hartanah di Kuala Lumpur secara beramai-ramai pada harga diskaun yang menarik.

2. Pulau Pinang

Tidak dinafikan, Pulau Pinang adalah satu negeri yang berkembang pesat dari segi ekonomi. Malah ada yang membayangkan bahawa Pulau Pinang adalah Kuala Lumpur ke dua di Malaysia.

Salah satu sebab Pulau Pinang meningkat dengan amat cepat adalah kerana ia adalah salah satu tempat pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong dari luar negara.

Namun kelemahan Pulau Pinang selain harga hartanah yang tinggi adalah, tanahnya lebih terhad. Maka kebanyakan hartanah yang dibina adalah jenis Apartmen. Dan disebabkan kuantiti rumah di Pulau Pinang adalah lebih terhad, persaingan untuk membeli hartanah di sana menjadi lebih tinggi.

3. Johor Bahru

Johor Bahru adalah satu negeri yang amat menarik bagi Pelaburan Hartanah. Malah, jika anda hendak tahu, Johor Bahru boleh dikatakan sebagai lubuk Pelaburan Hartanah masa kini.

Ada sekurang-kurangnya 4 sebab yang utama kenapa Johor Bahru dilabelkan sebagai lubuk Pelaburan Hartanah, iaitu kerana:

  • harga hartanahnya masih dikira masuk akal berbanding hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
  • keluasan wilayah Johor adalah antara yang terbesar di Malaysia, dan lebih banyak jenis hartanah boleh dipilih.
  • Johor Bahru adalah berdekatan dengan Singapura dan peluang untuk mendapat penyewa yang bekerja di Singapura tapi tinggal di Johor Bahru adalah amat tinggi.
  • peluang pekerjaan dikira besar di Johor Bahru terutamanya di kawasan-kawasan tertentu seperti Bandar Johor Bahru, Pasir Gudang dan kini sedang naik di Gelang Patah dan Nusajaya.

Menurut seorang Agen Hartanah di Johor Bahru, permintaan terhadap rumah sewa di Johor Bahru adalah amat tinggi, tetapi adalah amat kurang tuan rumah yang memilih untuk menjadikan rumahnya sebagai rumah sewa. 

Jika inilah keadaan yang berlaku di Johor Bahru, mengapa anda tidak masuk ke dunia Pelaburan Hartanah Johor Bahru dan menawarkan rumah anda sebagai rumah sewa untuk mereka?

Adalah menjadi kerugian jika anda menetap di Johor Bahru, tapi tidak melibatkan diri anda dalam Pelaburan Hartanah kerana kecenderungan untuk berjaya adalah amat tinggi.

4. Sabah

Sabah adalah negeri yang berada di luar semenanjung Malaysia. Berbanding Sarawak, perkembangan bandar di Sabah adalah lebih pesat membangun. Malah, Sabah juga menjadi tumpuan para pelancong dari luar negara kerana keajaiban dan keindahan pantainya.

Mungkin anda tertanya-tanya, kenapa Sabah merupakan antara lokasi paling panas untuk Pelaburan Hartanah di Malaysia bukan?

Sebenarnya ada banyak sebab, tapi satu sebab yang jelas dan nyata adalah, setiap tahun, pihak kerajaan akan menghantar graduan lepasan universiti seperti guru, doktor perubatan dan pegawai Farmasi untuk berkhidmat di Sabah.

Kebanyakan mereka adalah dari semenanjung dan memerlukan rumah untuk disewa di sana (kuarters kerajaan biasanya penuh dan mereka perlu mencari rumah sewa di luar). Biasanya mereka akan memilih untuk menyewa sahaja kerana selepas beberapa tahun, mereka akan memohon untuk kembali semula ke semenanjung.

Oleh itu, peluang untuk menjadi tuan rumah yang menjana keuntungan di Sabah adalah tinggi di kawasan-kawasan tertentu. Malah, keuntungan berterusan adalah lebih terjamin kerana akan ada saja guru, doktor perubatan, pegawai Farmasi baru yang akan melapor diri di Sabah dari semasa ke semasa.

Mereka akan sanggup membayar rumah sewa anda kerana mereka memang memerlukannya. Jadi jika anda melabur di sana, anda hanya perlu keluarkan duit untuk memiliki rumah di sana dan tunggu sahaja duit masuk ke akaun bank anda setiap bulan. Menarik bukan?


Demikian secara ringkas prospek dan limitasi 4 lokasi paling panas di Malaysia untuk perkongsian Strategi Lokasi buat kali ini. Semoga artikel kali ini dapat membuka minda kita tentang prospek dan peluang Pelaburan Hartanah di Malaysia.

0 comments :

Strategi Lokasi Dalam Pelaburan Hartanah

Strategi Lokasi Dalam Pelaburan Hartanah

Dalam Pelaburan Hartanah, lokasi memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan keuntungan dapat diperolehi dengan banyak dan cepat, atau sekurang-kurangnya untuk mengelakkan kerugian.

Ramai orang tidak mahu melabur dalam hartanah kerana bimbang jika nilai hartanah yang dibeli tidak naik seperti yang dispekulasikan ataupun tidak dapat disewakan.

Sebaliknya, Pelabur Hartanah yang bijak semakin ligat membeli hartanah kerana mereka tahu di manakah tempatnya untuk melabur dalam hartanah yang akan memberikan mereka pulangan yang berlipat kali ganda.

Sebenarnya, dengan mengetahui rahsia pemilihan lokasi, hampir 60-70% kejayaan dalam Pelaburan Hartanah akan menjadi milik anda.

Anda hanya perlu tahu, kenapa sesuatu lokasi itu sesuai untuk digunakan sebagai tempat untuk anda melakukan Pelaburan Hartanah, dan kenapa pula sesuatu lokasi yang lain itu tidak sesuai, malah merugikan.

Pengetahuan berkenaan pemilihan lokasi ini tidak sukar. Anda hanya perlu tahu apakah panduannya dan mengelakkan perkara yang disebut 'pantang larang' dalam Pelaburan Hartanah.

Dalam strategi lokasi, anda perlu melihat dua aspek:

1) Lokasi kawasan hartanah tersebut.

Di dalam Johor Bahru sahaja, terdapat berpuluh-puluh, atau mungkin beratus-ratus kawasan taman perumahan. Setiap kawasan mempunyai kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Untuk melakukan Pelaburan Hartanah, kita akan mencari hartanah yang mempunyai banyak kelebihan berbanding kelemahan.

Contohnya, rumah yang berada di sesebuah taman perumahan yang berdekatan dengan pusat bandar adalah lebih sesuai untuk dijadikan sebagai rumah sewa kerana permintaannya lebih tinggi berbanding rumah yang berada di luar kawasan utama.

Secara ringkasnya, kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang lebih tinggi adalah lokasi yang paling sesuai untuk kita masuk dan melakukan pelaburan di situ kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan manusia untuk tinggal dan berkumpul.

Bagaimana untuk mengkaji sama ada sesuatu kawasan itu menjadi tumpuan atau tidak? Salah satu caranya adalah, apabila tempat itu menjadi sesak (jam) pada waktu-waktu puncak.

Perhatikan pada pukul 5.30petang (waktu orang balik kerja), jika ramai orang berpusu-pusu masuk ke kawasan tersebut, bermakna ia adalah lokasi panas untuk kita masuk ke dalamnya sebagai tuan rumah sewa.

2) Lokasi hartanah itu sendiri.

Jika kita bercakap tentang rumah teres untuk Pelaburan Hartanah, anda perlu tahu apa beza rumah lot tengah dengan dengan rumah lot hujung (end lot) dari beberapa segi, seperti harga pasaran, potensi kenaikan harga selepas beberapa tahun, aspek keselamatan, kemudahan persekitaran dan sebagainya.

Sementara itu, jika kita bercakap tentang rumah apartment, terdapat beza di antara rumah di tingkat 1, tingkat tengah dan tingkat paling atas. Semuanya akan memberi kesan kepada teknik Pelaburan Hartanah melalui sewaan dan ianya akan menentukan sama ada anda dapat menghasilkan keuntungan yang lebih atau tidak.

Strategi lokasi untuk hartanah itu sendiri sebenarnya lebih detail dan memerlukan penelitian berbanding menentukan lokasi kawasan untuk Pelaburan Hartanah. Kita masih boleh tersilap langkah dan mengalami kerugian jika membeli rumah yang 'tidak baik' di kawasan yang baik.

Pakar-pakar hartanah seperti Faizul Ridzuan menggunakan teknik analisa APE untuk menilai potensi lokasi sesebuah hartanah dengan lebih kemas dan teratur. Sesiapa yang dapat menguasainya akan menjadi lebih yakin untuk membeli hartanah dan menjana keuntungan daripada pembelian tersebut.


Kesimpulannya, mendapat ilmu tentang strategi lokasi dalam Pelaburan Hartanah adalah amat bernilai dan sesiapa pun boleh melakukan Pelaburan Hartanah jika tahu caranya.

0 comments :

5 Manfaat Melabur Dalam Hartanah

Masih ramai yang kabur berkenaan Pelaburan Hartanah. Walaupun ramai orang boleh mengatakan bahawa melabur dalam hartanah itu menguntungkan, tapi masih ramai yang ragu-ragu dan mungkin tidak percaya yang Pelaburan Hartanah itu akan mendatangkan hasil yang diingini.

Sebenarnya, terdapat banyak strategi dalam Pelaburan Hartanah. Strategi yang pelbagai ini membuatkan ramai orang dari latar belakang berbeza dapat menceburi bidang ini dan menjana keuntungan mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam artikel ini, anda akan dapat lihat sekurang-kurangnya 5 manfaat yang boleh diperolehi jika anda melabur dalam hartanah dengan membeli rumah.

1. Rumah adalah hartanah yang nilainya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Secara puratanya, apabila anda membeli rumah pada hari ini pada harga RM200k, beberapa tahun kemudian, harga rumah itu akan melonjak naik. Mungkin 10 atau 15 tahun akan datang, harga rumah yang anda beli itu akan bernilai RM400k bergantung kepada lokasi.

Jika anda membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut, anda akan menjana keuntungan sebanyak 100% daripada penjualan itu. Mengapa harga rumah sentiasa meningkat adalah sesuatu yang sukar untuk dijelaskan di sini, tetapi ia adalah sifat hartanah yang perlu kita terima.

2. Boleh dijadikan rumah sewa dan menjana keuntungan setiap bulan.

Matlamat asas dalam pelaburan adalah untuk membuat wang dan menjana keuntungan. Tiada maknanya membeli sesuatu rumah atau hartanah, jika ia tidak memberikan apa-apa wang kepada kita.

Rumah yang dibeli boleh mendatangkan wang kepada anda jika anda menjadikannya sebagai rumah sewa. Duit sewa yang dibayar oleh penyewa adalah wang yang boleh kita gunakan dan ia adalah satu sumber pendapatan selain gaji bulanan yang diperolehi daripada pekerjaan hakiki kita.

Namun dalam proses menjadikan rumah sewa sesuatu yang menguntungkan, anda perlu belajar cara untuk melakukannya dengan betul. Jika anda sekadar beli rumah dan sewakan tanpa mengikut strategi yang betul, ia berkemungkinan besar akan mendatangkan masalah yang membuatkan anda tidak dapat tidur pada waktu malam.

3. Rumah boleh dibiayai semula untuk mendapatkan wang tunai.

Salah satu lagi kebaikan membeli rumah adalah, ia boleh menjadi satu alat yang dapat membantu kita apabila kita perlu menggunakan wang.

Selepas beberapa tahun anda membeli dan membayar pinjaman bank untuk rumah tersebut, anda boleh membiayai semula rumah tersebut untuk mendapatkan sejumlah wang yang boleh digunakan. Ini biasanya disebut sebagai 'refinance'.

Refinance membantu kita untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam-minjam daripada kawan-kawan atau ahli keluarga.

4. Adalah sukar untuk rumah dicuri.

Berbanding pelaburan emas atau silver mahupun simpanan wang, pembelian rumah melibatkan proses guaman yang sah dan selamat. Apabila sebuah rumah menjadi milik anda, secara perundangan, rumah tersebut adalah milik anda dan tiada siapa berhak untuk merampasnya daripada anda dengan mudah.

Jadi apabila anda telah berjaya membeli rumah, wang anda disimpan dalam bentuk fizikal yang kukuh dan selamat. Selagi anda konsisten dapat membayar pinjaman kepada bank setiap bulan, tiada siapa yang dapat mengambil rumah itu pergi daripada anda dan rumah tersebut adalah aset anda selamanya.

5. Insurans melindungi anda dan rumah anda.

Apabila anda membeli sebuah rumah, anda ditawarkan untuk mengambil insurans bagi melindungi rumah anda sekiranya berlaku apa-apa kemalangan atau malapetaka seperti banjir, kecurian atau bencana alam yang merosakan rumah anda.

Insurans ini akan melindungi diri anda dan mengurangkan risiko yang perlu ditanggung jika terjadi apa-apa masalah di sepanjang tempoh anda memiliki rumah tersebut. Jika rumah anda mengalami bencana tersebut, pihak insurans yang akan menanggung segala kos yang terlibat.

Dengan mengambil insurans tersebut, anda tidak perlu risau untuk membeli rumah bagi tujuan melakukan Pelaburan Hartanah. Risiko dalam Pelaburan Hartanah sebenarnya adalah kecil jika anda melakukannya dengan betul dan selamat.

0 comments :

Pelaburan Hartanah Untuk Semua?

Pada hari ini, ramai orang bercakap berkenaan Pelaburan Hartanah. Mendapatkan mentor untuk tujuan belajar berkenaan Pelaburan Hartanah kini lebih mudah, malah terdapat banyak seminar Pelaburan Hartanah yang dianjurkan sama ada oleh golongan bumiputera mahupun golongan bukan bumiputera.

Seminar-seminar yang dianjurkan tersebut sebenarnya satu peluang yang besar bagi rakyat Malaysia untuk mempelajari bidang Pelaburan Hartanah dengan lebih mudah dan cepat. 

Kini, peluang untuk belajar berkenaan Pelaburan Hartanah terbentang luas. Semua orang boleh belajar, memahami dan mencuba untuk menjadi seorang Pelabur Hartanah yang hebat. 

Namun persoalannya, 
  • Adakah semua orang boleh melakukan Pelaburan Hartanah? 
  • Adakah Pelaburan Hartanah sesuai dilakukan oleh semua lapisan masyarakat? 
  • Adakah orang yang berpendapatan rendah, sekitar bawah RM2000 sebulan boleh membeli rumah untuk tujuan pelaburan hartanah yang menguntungkan?
  • Adakah seseorang yang mempunyai komitmen kos sara diri bulanan yang tinggi juga boleh melabur dalam hartanah dan menjana wang dengan lebih banyak?

Ini adalah antara soalan-soalan yang bermain di minda kebanyakan mereka yang belum bermula dalam Pelaburan Hartanah.

Jawapan untuk soalan-soalan di atas ada dua. Jawapan pertama, sudah tentu boleh! Dan jawapan yang kedua, belum tentu boleh..

Sebenarnya, semua orang mempunyai kekangan wang yang tersendiri. Ada orang dilahirkan dalam keluarga yang kurang berada, ada orang yang tidak mempunyai pelajaran yang tinggi, ada orang sekadar mempunyai pekerjaan cukup makan, ada orang yang langsung tiada wang simpanan yang boleh dilaburkan dan ada juga yang mempunyai masalah pengurusan kewangan yang amat teruk.

Sama ada Pelaburan Hartanah itu dapat dilakukan oleh semua orang atau tidak, ia adalah satu soalan yang sukar untuk dijawab secara terus terang kerana ia bergantung kepada keadaan semasa seseorang itu.

Walaubagaimanapun, untuk menjawab persoalan-persoalan di atas, anda perlu menjawabnya sendiri, sama ada anda mahu atau tidak mahu. Jika anda serius ingin melakukan Pelaburan Hartanah dan membuat keputusan untuk menjana keuntungan daripadanya, ia adalah langkah terpenting berbanding melihat masalah-masalah yang perlu di hadapi.

Hakikatnya, untuk memulakan Pelaburan Hartanah itu memang amat sukar. Lebih mudah untuk bercakap, tapi ternyata, untuk melakukannya adalah perkara yang berbeza. 

Namun, untuk pengetahuan anda, jika anda dapat mencabar diri anda dan bertekad untuk melakukan Pelaburan Hartanah dengan cara yang betul, kesusahan yang anda hadapi adalah pada permulaannya sahaja.

Sekali anda berjaya melakukannya, jalan seterusnya akan menjadi lebih mudah kerana anda sudah tahu apakah yang perlu dilakukan. Ini adalah satu proses pembentukan pengalaman. 

Ini berlaku kerana, Pelaburan Hartanah adalah sesuatu yang praktikal. Jika anda belajar daripada buku semata-mata, anda tidak akan dapat menikmatinya. 

Tapi apabila anda mula melakukannya, melihat sendiri wang yang anda bayar bertukar menjadi menjadi mesin wang, anda akan sentiasa merasa rugi dan menyesal kerana tidak membuat keputusan lebih awal untuk bersusah payah pada permulaannya bagi memulakan Pelaburan Hartanaha.

Oleh itu, persoalannya, adakah Pelaburan Hartanah sesuai untuk dilakukan oleh semua orang? Jawapannya memang boleh kalau mahu. Kerana terdapat banyak strategi Pelaburan Hartanah yang dapat disesuaikan dengan kemampuan seseorang.

Jika anda hanya mampu membeli rumah yang berkos rendah untuk tujuan Pelaburan Hartanah, itu adalah lebih baik daripada anda membeli sesuatu rumah yang berharga ratusan ribu ringgit yang anda tidak mampu bayar, ataupun jika mampu bayar, anda akan mengalami kesesakan kewangan yang luar biasa yang mengganggu kehidupan anda setiap hari.

Dapatkan ilmu yang betul berkenaan Pelaburan Hartanah, kerana ia akan membantu anda melakukannya dengan kos yang lebih rendah dengan kadar yang lebih cepat dan lebih selamat.

0 comments :