5 Manfaat Melabur Dalam Hartanah

Masih ramai yang kabur berkenaan Pelaburan Hartanah. Walaupun ramai orang boleh mengatakan bahawa melabur dalam hartanah itu menguntungkan, tapi masih ramai yang ragu-ragu dan mungkin tidak percaya yang Pelaburan Hartanah itu akan mendatangkan hasil yang diingini.

Sebenarnya, terdapat banyak strategi dalam Pelaburan Hartanah. Strategi yang pelbagai ini membuatkan ramai orang dari latar belakang berbeza dapat menceburi bidang ini dan menjana keuntungan mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam artikel ini, anda akan dapat lihat sekurang-kurangnya 5 manfaat yang boleh diperolehi jika anda melabur dalam hartanah dengan membeli rumah.

1. Rumah adalah hartanah yang nilainya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Secara puratanya, apabila anda membeli rumah pada hari ini pada harga RM200k, beberapa tahun kemudian, harga rumah itu akan melonjak naik. Mungkin 10 atau 15 tahun akan datang, harga rumah yang anda beli itu akan bernilai RM400k bergantung kepada lokasi.

Jika anda membuat keputusan untuk menjual rumah tersebut, anda akan menjana keuntungan sebanyak 100% daripada penjualan itu. Mengapa harga rumah sentiasa meningkat adalah sesuatu yang sukar untuk dijelaskan di sini, tetapi ia adalah sifat hartanah yang perlu kita terima.

2. Boleh dijadikan rumah sewa dan menjana keuntungan setiap bulan.

Matlamat asas dalam pelaburan adalah untuk membuat wang dan menjana keuntungan. Tiada maknanya membeli sesuatu rumah atau hartanah, jika ia tidak memberikan apa-apa wang kepada kita.

Rumah yang dibeli boleh mendatangkan wang kepada anda jika anda menjadikannya sebagai rumah sewa. Duit sewa yang dibayar oleh penyewa adalah wang yang boleh kita gunakan dan ia adalah satu sumber pendapatan selain gaji bulanan yang diperolehi daripada pekerjaan hakiki kita.

Namun dalam proses menjadikan rumah sewa sesuatu yang menguntungkan, anda perlu belajar cara untuk melakukannya dengan betul. Jika anda sekadar beli rumah dan sewakan tanpa mengikut strategi yang betul, ia berkemungkinan besar akan mendatangkan masalah yang membuatkan anda tidak dapat tidur pada waktu malam.

3. Rumah boleh dibiayai semula untuk mendapatkan wang tunai.

Salah satu lagi kebaikan membeli rumah adalah, ia boleh menjadi satu alat yang dapat membantu kita apabila kita perlu menggunakan wang.

Selepas beberapa tahun anda membeli dan membayar pinjaman bank untuk rumah tersebut, anda boleh membiayai semula rumah tersebut untuk mendapatkan sejumlah wang yang boleh digunakan. Ini biasanya disebut sebagai 'refinance'.

Refinance membantu kita untuk mendapatkan wang tanpa perlu meminjam-minjam daripada kawan-kawan atau ahli keluarga.

4. Adalah sukar untuk rumah dicuri.

Berbanding pelaburan emas atau silver mahupun simpanan wang, pembelian rumah melibatkan proses guaman yang sah dan selamat. Apabila sebuah rumah menjadi milik anda, secara perundangan, rumah tersebut adalah milik anda dan tiada siapa berhak untuk merampasnya daripada anda dengan mudah.

Jadi apabila anda telah berjaya membeli rumah, wang anda disimpan dalam bentuk fizikal yang kukuh dan selamat. Selagi anda konsisten dapat membayar pinjaman kepada bank setiap bulan, tiada siapa yang dapat mengambil rumah itu pergi daripada anda dan rumah tersebut adalah aset anda selamanya.

5. Insurans melindungi anda dan rumah anda.

Apabila anda membeli sebuah rumah, anda ditawarkan untuk mengambil insurans bagi melindungi rumah anda sekiranya berlaku apa-apa kemalangan atau malapetaka seperti banjir, kecurian atau bencana alam yang merosakan rumah anda.

Insurans ini akan melindungi diri anda dan mengurangkan risiko yang perlu ditanggung jika terjadi apa-apa masalah di sepanjang tempoh anda memiliki rumah tersebut. Jika rumah anda mengalami bencana tersebut, pihak insurans yang akan menanggung segala kos yang terlibat.

Dengan mengambil insurans tersebut, anda tidak perlu risau untuk membeli rumah bagi tujuan melakukan Pelaburan Hartanah. Risiko dalam Pelaburan Hartanah sebenarnya adalah kecil jika anda melakukannya dengan betul dan selamat.

0 comments :