Tips Memilih Buku Pelaburan Hartanah

Untuk menceburi bidang pelaburan, anda perlu memiliki ilmu yang secukupnya. Ramai yang kecundang dalam dunia Pelaburan Hartanah kerana gagal mendalami ilmu yang diperlukan.

Salah satu puncanya adalah disebabkan kerana kurangnya membaca artikel atau buku-buku berkenaan Pelaburan Hartanah.

Jika anda ingin berjaya dalam Pelaburan Hartanah, anda perlu membaca terlebih dahulu buku-buku yang menerangkan selok-belok asas untuk melakukan Pelaburan Hartanah.

Namun, sudah pasti anda tertanya-tanya, apakah buku yang patut anda baca dan apakah ilmu yang patut anda ekstrak daripada buku-buku tersebut. Sudah pasti anda tidak mahu membuang masa membaca sesuatu yang tidak memberikan manfaat kepada anda, bukan?

Untuk pengetahuan anda, anda tidak perlu baca kesemua buku tentang Pelaburan Hartanah yang ada di pasaran (jika anda dapat baca semuanya, adalah lebih bagus).

Untuk permulaan, anda cuma perlu baca buku yang bersesuaian dengan anda dan memberikan ilmu yang anda perlukan sahaja. Selepas anda mula menceburi bidang Pelaburan Hartanah ini, anda akan lebih memahami, apakah jenis buku Pelaburan Hartanah yang sesuai anda baca.

Dalam artikel kali ini, RumahJohorBahru.com akan berkongsikan tips, bagaimana untuk memilih buku-buku yang sesuai untuk dijadikan modal pembelajaran anda berkenaan dunia Pelaburan Hartanah.

InsyaAllah, jika anda mengikut tips-tips yang dikemukakan ini, langkah anda untuk menjadi seorang Pelabur Hartanah yang berjaya di Malaysia akan menjadi lebih cepat dan teratur.

Tips #1 : Beli Buku, Jangan Pinjam!

Ok tips yang pertama ini agak pelik, tapi sebenarnya amat penting jika anda serius untuk belajar, mendalami dan menjadi seorang Pelabur Hartanah yang berjaya. Anda perlu laburkan sedikit wang anda untuk membeli buku-buku berkenaan Pelaburan Hartanah.

Jangan jadikan tabiat untuk sekadar meminjam buku berkenaan Pelaburan Hartanah daripada kawan-kawan anda kerana ia lambat laun melunturkan semangat anda. Buat keputusan dengan membeli buku Pelaburan Hartanah yang terbaik, baca dan amalkan ilmunya.

Baiklah, anda telah faham tips yang pertama, tapi macam mana nak pilih dan beli buku Pelaburan Hartanah yang bagus? Teruskan membaca tips yang seterusnya.

Tips #2: Pilih Buku Terbitan Tempatan.

Ramai orang yang baru hendak bermula menceburi bidang Pelaburan Hartanah ini membeli buku-buku terbitan luar negara. Kebanyakannya dalam bahasa Inggeris dan berharga agak mahal (lebih RM50 senaskah).

Tapi selepas beberapa bulan selepas itu, mereka gagal melakukan apa-apa pun dalam Pelaburan Hartanah. Antara alasan mereka adalah, buku itu menunjukkan cara melakukan Pelaburan Hartanah yang tidak praktikal.

Itulah salah satu kesilapan yang dilakukan oleh ramai orang, iaitu membaca buku yang tidak berkaitan. Kebanyakannya, buku terbitan luar negara lebih sesuai dibaca oleh Pelabur Hartanah luar negara.

Di Malaysia, situasinya sudah pasti berbeza. Cara membeli hartanah dan jenis strategi lokasi yang dibentangkan dalam buku Pelaburan Hartanah terbitan luar negara itu mungkin tidak dapat diaplikasikan di Malaysia.

Oleh itu, secara ringkasnya, lebih bijak jika anda membeli buku-buku tentang Pelaburan Hartanah yang ditulis oleh penulis-penulis dan pelabur-pelabur hartanah di Malaysia kerana teknik dan strategi yang digunakan adalah lebih sesuai untuk dipraktikkan di pasaran hartanah Malaysia.

Tips #3: Pilih Buku Yang Memberikan Panduan Langkah Demi Langkah

Secara asasnya, terdapat 2 jenis buku yang biasanya ditulis berkenaan Pelaburan Hartanah. Satu adalah buku jenis panduan langkah demi langkah, dan yang kedua adalah buku jenis perkongsian pengalaman pelabur hartanah.

Untuk permulaan, anda perlu cari buku yang memberi panduan asas bagaimana untuk melakukan Pelaburan Hartanah, seperti apakah persediaan untuk menjadi pelabur hartanah, bagaimana caranya mengumpul modal untuk membeli hartanah, jenis-jenis teknik dan strategi melakukan Pelaburan Hartanah dan juga penerangan-penerangan ringkas tentang terma-terma yang digunakan apabila berbicara tentang Pelaburan Hartanah, seperti CCRIS, CTOS, DIBS dan sebagainya.

Selepas anda mendapat gambaran yang jelas bagaimana untuk melakukan Pelaburan Hartanah dan sudah mula membeli rumah untuk tujuan Pelaburan Hartanah, pada masa itu anda bolehlah membaca buku-buku Pelaburan Hartanah yang berkongsikan pengalaman para pelabur hartanah melakukan Pelaburan Hartanah mereka pula, untuk mendapatkan rangsangan motivasi tambahan jika anda menghadapi apa-apa kesukaran ketika melabur dalam hartanah.


Demikian 3 tips yang dapat dijadikan panduan untuk membeli buku tentang Pelaburan Hartanah. Membaca buku yang betul tentang Pelaburan Hartanah adalah amat penting dan ianya akan membantu anda melakukan Pelaburan Hartanah dengan lebih pantas dan berkesan serta dapat mengelakkan kerugian yang besar.

Pastikan anda membaca buku yang boleh anda fahami, ringkas dan padat. Jika kurang faham, cari mentor untuk bertanya atau bersoal jawab (berbincang) dengan kawan-kawan anda yang meminati dunia Pelaburan Hartanah.

Dari situ pengetahuan anda tentang Pelaburan Hartanah di Malaysia akan cepat berkembang dan setelah anda mengetahui rahsia sebenar melakukan Pelaburan Hartanah yang menguntungkan, anda akan merasakan yang Pelaburan Hartanah itu adalah sesuatu yang amat menyeronokkan.

Di RumahJohorBahru.com, kami telah menyediakan satu kategori khas iaitu 'Review Buku' di mana buku-buku berkaitan Pelaburan Hartanah Malaysia akan dituliskan review.

Teruskan melayari RumahJohorBahru.com untuk mendapatkan info terkini berkenaan bahan bacaan yang sesuai dan terbaik untuk menambahkan lagi ilmu anda tentang Pelaburan Hartanah di Malaysia.

0 comments :