8 Sebab, Kenapa Perlu Memiliki Rumah Sendiri!

Masih ramai di luar sana yang berpendapat, membeli rumah adalah sesuatu yang merugikan. Jika ada yang rasa membeli rumah itu membawa banyak kebaikan, mereka masih juga belum bertindak untuk membeli dan memiliki rumah.

Persoalannya, kenapa anda perlu membeli rumah sendiri?

1. Mendapat Ketenangan Fikiran

Dengan memiliki rumah sendiri, anda tidak perlu pening kepala jika harga sewa rumah dinaikkan oleh tuan rumah. Anda sentiasa tenang kerana anda cuma perlu fokus untuk membayar bayaran pinjaman bulanan pada kadar yang tetap kepada bank yang memberikan anda pinjaman perumahan tersebut.

Anda juga akan merasa tenang pada hari tua nanti jika memiliki rumah kerana anda mempunyai tempat untuk tinggal dan dapat mengelakkan daripada ditempatkan di rumah-rumah kebajikan orang tua sekiranya anak-anak anda tidak berkemampuan untuk menyara anda.

2. Sebagai simbol kejayaan

Rumah adalah simbol kejayaan yang sebenar. Dengan memiliki rumah, anda sebenarnya telah mencapai satu tahap yang baik sepanjang hidup anda.

Terdapat 3 kelas manusia dalam masyarakat berkaitan rumah:

Kelas 1 adalah mereka yang memilik rumah. Lebih besar rumah dan cantik rumah mereka, lebih besar imej kejayaan yang mereka cipta.

Kelas 2 adalah mereka yang menyewa dan tidak mampu membeli rumah sendiri. Orang yang dalam kelas 2 ini bergantung harap pada orang lain untuk mendapatkan tempat berlindung.

Kelas 3 orang yang tidak membeli rumah dan tidak mampu menyewa. Contohnya, orang yang tidur atau tinggal di bawah jambatan, di tepi kaki lima atau di mana-mana sahaja. Mereka adalah simbol orang yang gagal atau belum berjaya dalam hidup.

Ramai orang menganggap kereta adalah simbol kejayaan, tapi hakikatnya, kereta adalah simbol kejayaan yang palsu kecuali untuk orang yang benar-benar kaya dan berjaya.

3. Meraih pendapatan lumayan melalui sewaan

Dengan memiliki rumah sendiri, anda boleh jadikannya sebagai rumah sewa. Kini anda boleh mengawal kehidupan anda kerana anda mempunyai peluang untuk mendapat pendapatan melalui sewaan tersebut.

Pendapat secara pasif ini akan membantu meningkatkan duit simpanan anda untuk tujuan-tujuan yang baik seperti pelaburan, tabung kecemasan ataupun untuk menginfak ke jalan yang diredhai Allah SWT.

4. Rumah adalah aset yg sentiasa meningkat harganya. keuntungan bila menjual.

Salah satu sifat hartanah seperti rumah adalah, harganya akan sentiasa meningkat. Umum tahu bahawa, harga rumah sentiasa meningkat dan anda boleh menjana keuntungan daripada proses jual beli rumah tersebut jika kena pada masanya.

Keuntungan yang diperolehi daripada penjualan rumah tersebut boleh digunakan untuk membeli rumah idaman yang lebih besar dan cantik.

5. Sebagai cagaran yang selamat dan yang diterima oleh bank untuk mendapat pinjaman. (Over Draft/Personal Loan Dsb)

Dengan memiliki rumah sendiri juga, anda boleh gunakannya sebagai cagaran untuk mendapatkan pinjaman berbentuk Over Draft (OD) atau Personal Loan dan lain-lain dengan lebih mudah.

Anda boleh mendapat wang tunai daripada proses tersebut tanpa perlu menjual rumah anda tersebut. Ini adalah sesuatu yang anda tidak boleh lakukan jika anda tidak memiliki rumah sendiri.

6. Membina daya kreativiti

Apabila anda memiliki rumah sendiri, anda bebas untuk membuat ubahsuai rumah tersebut mengikut kesukaan anda. Anda bebas untuk memilih design apa yang anda mahukan untuk pagar rumah anda, serta tambahan dapur di bahagian belakang.

Untuk hiasan dalaman, anda boleh memilih jenis mozek yang anda suka, dan design wallpaper yang akan menaikkan mood ahli keluarga yang menetap bersama di dalam rumah anda tersebut.

Anda tidak boleh lakukannya jika anda sekadar menyewa rumah. Jika tuan rumah membenarkannya sekalipun, anda sendiri yang rugi dan tuan rumah mendapat keuntungan secara percuma daripada proses ubahsuai yang anda lakukan itu.

7. Sebagai harta yang boleh diwariskan kepada anak-anak apabila telah sampai masanya.

Rumah adalah satu harta yang bernilai dan boleh diwariskan kepada anak-anak apabila kita sudah tiada lagi nanti.

Walaupun harta yang ditinggalkan tidak menjamin yang anak-anak kita akan hidup senang, tetapi ia tetap satu peluang untuk mereka meneruskan hidup dengan baik tanpa perlu terlalu mengharapkan belas ihsan orang lain.

Sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat atau rumah untuk mereka menetap.

8. Membeli rumah adalah pelaburan yang terbaik berbanding pelaburan yang lain, seperti saham, emas, dan sebagainya.

Terdapat banyak jenis bidang pelaburan yang boleh diceburi selain pelaburan hartanah, contohnya pelaburan saham dan pelaburan emas.

Namun, rata-rata para pelabur tegar dan mahir menyatakan bahawa pelaburan hartanah adalah satu bentuk pelaburan yang paling menguntungkan, selamat dan menyeronokkan.

Salah satu produk dalam pelaburan hartanah adalah rumah. Jadi dengan memiliki rumah sendiri, anda telah pun secara tidak langsung melibatkan diri dalam pelaburan hartanah yang menguntungkan dan memberi banyak manfaat kepada anda jika anda melakukannya dengan menggunakan ilmu yang betul.


Membeli rumah adalah satu keseronokan. Apabila anda membelinya, anda akan merasai keseronokan tersebut. Anda mampu memiliki rumah sendiri jika anda menetapkan matlamat dan berusaha ke arahnya. InsyaAllah satu hari nanti anda akan berjaya memiliki rumah sendiri.

Salam maju jaya! =)


0 comments :

3 Kategori Orang Buat Rumah Sewa


Ada 3 kategori orang yang buat rumah sewa.

1. Kadar sewa lebih tinggi daripada bayaran bulanan pinjaman bank. Kita akan dapat positive cash flow kalau dapat buat macam ni.

2. Kadar sewa sama dengan bayaran bulanan pinjaman bank. Ibaratnya kita bagi penyewa duduk di rumah sewa kita itu secara percuma. Keadaan ini masih belum dikira rugi, tapi kurang berbaloi.

3. Kadar sewa lebih rendah daripada bayaran bulanan pinjaman bank. Ini akan menyebabkan negative cash flow. Kita perlu bayar sedikit wang kepada bank untuk membolehkan penyewa terus tinggal di rumah sewa kita. Negative cash flow adalah satu keadaan yang paling menyakitkan dan membuatkan poket kita koyak setiap bulan.

Anda rasa yang mana terbaik? Dan adakah ianya praktikal untuk dilakukan?

0 comments :

10 Sebab, Kenapa Melabur Dalam Hartanah!

Terdapat sekurang-kurangnya 10 sebab, kenapa anda perlu melabur dalam hartanah.

1. Pelaburan Hartanah Memberikan Anda Pendapatan Melalui Sewaan.

Dengan melabur dalam hartanah berbentuk sewaan, anda boleh mendapat pendapatan pasif secara bulanan. Jika anda fokus dalam Pelaburan Hartanah dan jumlah aliran tunai positif daripada sewaan telah setara dengan jumlah gaji bulanan anda, anda boleh pertimbangkan untuk berhenti kerja.

2. Nilai Hartanah Sentiasa Naik Dari Semasa Ke Semasa.

Salah satu sifat hartanah seperti rumah, bangunan dan tanah adalah, nilai harganya akan sentiasa meningkat. Apabila anda menjual hartanah tersebut pada masa yang sesuai, anda boleh menjana keuntungan daripada proses jual beli tersebut. Peningkatan nilai harga rumah ini membuatkan anda mampu menandingi masalah inflasi wang ringgit.

3. Anda Berkuasa Untuk Mengawal Matlamat Pelaburan Anda.

Apabila anda memiliki hartanah untuk tujuan pelaburan, anda berkuasa untuk menentukan berapa banyak keuntungan yang anda mahu buat daripadanya. Contohnya anda boleh menyewakan unit ataupun anda boleh menyewakan bilik. Semuanya anda tentukan sendiri tanpa perlu meminta kebenaran orang lain.

4. Hartanah Itu boleh Menjadi Kediaman Anda.

Rumah yang anda beli untuk tujuan pelaburan boleh dijadikan sebagai kediaman anda sendiri. Katakan pada satu masa nanti, anda kehilangan tempat tinggal (contohnya kerana tuan rumah tempat anda menyewa mahu mengambil rumahnya kembali dan sabagainya), anda mempunyai rumah untuk tinggal dan ianya adalah rumah anda!

5. Pelaburan Hartanah Boleh Membawa Anda Ke Arah Kebebasan Kewangan.

Ramai orang hidup terdesak kerana kesempitan kewangan. Dengan melabur dalam hartanah dengan cara yang betul, anda boleh membina portfolio kewangan yang lebih sihat di mana semua keperluan atau komitmen harian anda dibayar oleh orang lain (melalui aliran tunai positif yang diperolehi daripada sewaan).

6. Anda Boleh Menggunakan Konsep 'Other People's Money' (OPM).

Anda tidak perlu mempunyai wang tunai yang amat banyak untuk memiliki hartanah. Sebenarnya, anda memerlukan sejumlah wang tunai yang amat kecil secara relatifnya untuk membeli hartanah sekiranya anda bijak menggunakan fasiliti pembelian melalui pinjaman perbankan Islam.

7. Pelaburan Hartanah Membolehkan Anda Menikmati Ketenangan Pelaburan.

Berbeza dengan jenis pelaburan lain seperti saham, emas dan forex, Pelaburan Hartanah membolehkan anda tidur dalam keadaan tenang kerana semuanya adalah di bawah kawalan anda, bukannya orang lain. Jika melabur dalam saham, anda sentiasa risau jika nilai saham yang anda beli turun, manakala kalau anda beli emas, anda sentiasa risau kalau ada orang mahu mencurinya daripada anda terutamanya apabila orang tahu yang anda mempunyai sejumlah emas yang banyak. Tapi ia kurang berlaku dalam Pelaburan Hartanah.

8. Risiko Pelaburan Adalah Rendah Apabila Anda Mengambil Insurans.

Ramai juga orang takut untuk melabur dalam hartanah kerana memikirkan risikonya. Sudah pasti umum tahu, hartanah merupakan satu bentuk pelaburan jangka masa panjang. Jika tempoh pinjaman bank adalah sepanjang 30 tahun, apa akan terjadi jika terjadi apa-apa yang buruk ke atas pelabur. Siapa yang akan menanggung pembayaran semula pinjaman kepada bank? Di sinilah pentingnya mengambil insurans. Lindungi pelaburan anda dengan mengambil insurans seperti MRTT dan insurans bencana alam untuk hartanah. Jika berlaku apa-apa kepada anda atau hartanah tersebut, pihak insurans akan menyelesaikan semua tunggakan pinjaman dan waris anda akan mendapat hak ke atas rumah tersebut tanpa perlu membayar apa-apa.

9. Hartanah Boleh Diturunkan Kepada Waris Anda.

Salah satu manfaat terpenting melabur dalam hartanah adalah ianya boleh diturunkan kepada waris anda. Hartanah yang dikumpul boleh diturunkan kepada waris dan terpulang kepada waris untuk memanfaatkan hartanah tersebut dengan sebaik-baiknya.

10. Hartanah Mengeratkan Hubungan Antara Keluarga.

Apabila seseorang memiliki hartanah seperti rumah dan tanah, ia secara tidak langsung akan mengeratkan lagi hubungan di kalangan ahli keluarganya. Teras ekonomi keluarga yang kukuh akan membantu membina keluarga yang lebih stabil dan saling menyayangi.

Masih terdapat banyak lagi sebab dan rasional kenapa perlu melabur dalam hartanah jika dilihat dengan lebih mendalam.

Golongan bumiputera Muslim terutamanya, sewajarnya membuka minda berkenaan konsep Pelaburan Hartanah dan mendapatkan ilmu bagi melakukannya dengan cara yang betul.

0 comments :